KUALA LUMPUR 13 Jun - Anak syarikat milik penuh Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd. (EPIC), Eastern Pacific Properties Sdn. Bhd. (EPPSB), telah mencatat tempahan sebanyak 60 peratus bagi projek perintisnya, Pusat Perniagaan Paka, selepas pelancarannya semalam.
Pusat perniagaan yang dimajukan oleh EPPSB itu terdiri daripada tiga fasa pembangunan. Fasa pertamanya dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2005.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan EPIC, Suhaimi Husain berkata, pusat perniagaan di pekan Paka, Dungun, Terengganu itu, akan mengandungi 26 unit pejabat kedai dua tingkat, 49 unit pejabat kedai tiga tingkat, sebuah bazar dan sebuah hotel.
``Kesemuanya akan dimajukan dalam tiga peringkat. Peringkat pertama terdiri daripada lot-lot kedai diikuti oleh pembinaan pusat perniagaan itu dalam peringkat kedua dan akhir sekali pembinaan hotel,'' katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, hari ini.
Dengan lokasi strategik dan pasaran yang berpotensi, beliau yakin pembangunan harta itu akan memberikan sumbangan yang memuaskan kepada perolehan kumpulan ini dalam jangka masa yang terdekat ini.
Ditanya tentang perniagaan pengurusan enap cemar syarikat itu, yang dikendalikan oleh anak syarikatnya, Natuream Enviro-Services Sdn. Bhd. (NESB), Pengerusi EPIC, Datuk Wan Abd Muttalib berkata, syarikat itu telah membuat tawaran tender untuk memberikan kepakaran teknikal kepada Petronas Penapisan Terengganu Sdn Bhd mengenai pengurusan enap cemar minyak mentah. - Bernama