Pusat perniagaan yang dilancarkan kelmarin itu dimajukan sendiri oleh EPPSB menerusi tiga peringkat pembangunan dengan yang pertamanya dijangka siap sepenuhnya menjelang 2005.
Ketua Eksekutif yang juga Pengarah Urusan EPIC, Suhaimi Husain berkata, pusat perniagaan di pekan Paka, Dungun, Terengganu itu, akan mengandungi 26 unit pejabat kedai dua tingkat, 49 kedai pejabat tiga tingkat, sebuah bazar dan sebuah hotel.
“Semuanya akan dimajukan dalam tiga peringkat. Peringkat pertama membabitkan lot kedai diikuti pusat perniagaan dalam peringkat kedua dan akhir sekali hotel,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan EPIC di Kuala Terengganu, semalam.
Dengan lokasi strategik dan pasaran berpotensi, beliau yakin pembangunan itu akan memberikan sumbangan memuaskan kepada perolehan kumpulan dalam jangka masa terdekat.
Mengenai perniagaan pengurusan enap cemar syarikat yang dikendalikan Natuream Enviro-Services Sdn Bhd (NESB), Pengerusi EPIC, Datuk Wan Abd Muttalib berkata, syarikat sudah membuat tawaran tender untuk memberikan kepakaran teknikal kepada Petronas Penapisan Terengganu Sdn Bhd (PPTSB).
<“Tugas kami adalah membantu mereka menentukan kandungan enap cemar dalam tangki dan menyingkirkannya,” katanya./p>
Dengan perkhidmatan yang disediakan oleh kumpulan itu, kata katanya, penggunaan tangki dapat dioptimumkan dan pengendalinya akan mendapat faedah dalam bentuk pendapatan lebih tinggi.
Katanya, bulan lalu, syarikat itu sudah diberikan kontrak untuk menyediakan kemudahan berkenaan oleh PPTSB.
Beliau berkata, kumpulan yakin dapat mencapai pertumbuhan berdasarkan teknologi dalam mengendali dan menstabilkan sisa mendapan.
“Memang ada minat yang menggalakkan terhadap teknologi yang disediakan oleh NESB dan ini akan menghasilkan sumbangan pendapatan kepada kumpulan ini,” katanya. - Bernama