Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) kini memberikan tumpuan terhadap penswastaan Pelabuhan Kemaman dalam membantu memberikan limpahan rezeki dan ekonomi kepada Terengganu.
Pengerusi EPIC, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, EPIC juga dalam proses mendapatkan kontrak baru bagi menampung skop kerja sedia ada.
“Itu adalah langkah bagi memastikan EPIC terus berdaya saing sebagai sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri,” katanya.
Mohamed berkata, penswastaan Pelabuhan Kemaman dijangka diluluskan Kerajaan Pusat akhir tahun ini dan melaluinya diharapkan sektor ekonomi akan lebih rancak di sekitar Bandar Chukai dan Dungun.
"Kelewatan penswastaan juga berkaitan dengan perubahan kepimpinan negeri kerana selepas persetujuan mengenainya dibuat pada 1995," katanya.
Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Pelancongan negeri, berkata proses penswastaan pelabuhan dipergiatkan semula selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan Terengganu.
Beliau berkata, cadangan penswastaan itu diluluskan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan akan dibawa ke Kabinet tidak lama lagi.
Dengan penswastaan Pelabuhan Kemaman, pihaknya yakin akan berupaya membantu mengukuhkan kedudukan EPIC melalui sektor terasnya dan mampu menjadikan Pelabuhan Kemaman lebih dikenali di peringkat kebangsaan.
"Melalui penswastaan itu juga, Terengganu akan mendapat manfaat besar dari segi peningkatan jumlah kapal yang keluar masuk ke pelabuhan itu," katanya.
Mohamed berkata, EPIC bersama rakan kongsi perniagaannya, Roads Builders Holdings (M) Bhd dan Perwaja Steel Sdn Bhd percaya pelabuhan berkenaan akan membantu mengukuhkan penjenamaan produk mereka.
Katanya, keadaan ini akan menyumbangkan kepada keuntungan jangka panjang syarikat dan ini adalah sebahagian daripada pendekatan strategi pengembangan syarikat.